Al Muntahi (Bhg. 15 – Selesai)
30. Jikalau masih ada lagi
citanya, rasanya dan lazatnya itu bermakna sifatnya dua jua, seperti
musyahadah pun dua lagi hukumnya. Dan jika lagi syuhud pun masih ada dua
kehendaknya:
Seperti rasa, yang dirasa dan merasa pun hendaknya, seperti mencinta dan dicinta hendaknya, masih dua belum lagi esa.
Sekelian sifat itu pada iktibarnya dua juga, seperti ombak pada ombaknya laut pada lautnya,, belum mana (kembali ke) laut.
Apabila ombak dan laut sudah
menjadi satu, muqabalah pun tidaklah, musyahadah pun tidaklah, makanya
hanya fana dengan fana jua. Tetapi jika dengan fananya itupun, jika
diketahuinya, maka belum bertemu dengan fana, kerana ia lagi ingat akan
fananya. Itu masih lagi dua sifatnya.
31. Seperti kata Syeikh Attar:
Jalan orang berahi (kepada Allah) yang wasil (sampai) kepada kekasihnya itu,
Akan orang itu satupun tidaklah dilihatnya,
Segala orang yang melihat dia itu, dan alam itu pun tiadalah dilihatnya.
Lagi kata Syeikh Attar:
Jangan ada semata-mata, inilah jalan kamil,
Jangan bermuka dua, inilah sebenarnya wasil.
Kerana erti wasil bukan dua (tetapi esa). Yakni barangkala syak dan yakin tidaklah ada padanya, maka wasillah.
Namanya ilmu yakin, mengetahui dengan yakin, ainul yakin
iaitu melihat dengan yakin, dan haqqul yakin iaitu sebenar yakin,,..
yakin adanya dengan ada Tuhannya esa jua.
Maksudnya apabila sempurna
fakirnya (fana) maka ia itu Allah, (hati-hati mesti dapat maksud yang
sebenar, jika tidak syirik dan kufur jua adanya).
Selesai,…
(Karangan Al Fakir Hamzah Fansuri.
Sufi Terkenal dari Indonesia – Semoga Allah memberikan Rahmat ke atas runya,
mari kita bersedekah Al Fatihah untuknya.)
Al Muntahi (bhg. 14)
28. Inilah ertinya: Yang fakir itu tiada suatu pun baginya. Maka firman Allah dalam Hadis Qudsi:
Tidur fakir itu tidurKu,
Makan fakir itu makanKu,
Dan minum fakir itu minumKu.
Dan lagi firman Allah: Manusia itu adalah RahsiaKu dan Aku Rahsianya dan Sifatnya.
Berkata pula Uways Al Qarani: Yang fakir itu hidup dengan hidup Allah, dan sukanya dengan Kesukaan Allah.
Seperti kata Mashaikh: Barangsiapa yang mengenal Allah maka
ia akan menyengutukannya, dan barangsiapa mengenal dirinya maka ia itu
kafir.
Seperti kata Syeikh Muhyil Din Ibnu Arabi:
Yang makrifat itu dinding bagiNya,
Bermula jikalau tiada wujud kedua (alam) nescaya nyatalah AdaNya.
29. Kerana belajar dan makrifat, rindu dan merindu,
sekeliannya itu, pada iktibarnya adalah sifat hamba juga, jikalau
sekelian itu tiadalah padanya, maka lenyaplah ia. Kerana dzatnya dan
sifatnya nisbat kepada Allah SWT jua, jikalau barangkala tiada ia, maka
sifat hamba, seperti sifat ombak, pulang ke laut (Dzat).
Inilah makna Firman Allah QS
Fajr 89:28: Pulang kepada Tuhannya dengan reda dan diredai. Dan makna
QS Al Baqarah 2:156: Daripada Allah kami datang dan kepada Allah kami
kembali.
Dan Firman Allah: QS Al Qashash
28:88: Tiap-tiap sesuatu binasa kecuali wajah Allah. Dan juga Firman
Allah QS Ar Rahman 55:26,27: Segala sesuatu akan fana, dan yang kekal
Dzat Tuhanmu yang empunya Kebesaran dan Kemuliaan.
Bersambung ke bahagian 15.
Al Muntahi (bhg. 13)
26. Di situlah tempat tinggal
orang yang berahi kepada Allah, berahikan surga pun tidak, dengan neraka
pun dia tidak takut, kerana pada orang berahi yang wasal jannah (sampai
surga), itulah yang dikatakan dalam firman Allah QS Al Fajr
89:29,30: Masuklah kamu dalam golongan hambaKu, dan masuklah kamu ke
dalam surgaKu.
Pulang ia kepada tempat perbandaharaan yang tersembunyi (Dzat Allah).
Seperti kata ahli makrifatullah: Barang siapa mengenal Allah maka ia itu musyrik (kenapa musyrik? Kerana ada dualiti).
Dan lagi kata ahli Allah: Yang fakir itu hitam (tiada) mukanya pada kedua negeri (Zahir dan batin, yang ada hanya wajah Allah)
Dan Lagi: Aku telah karamlah pada laut yang tidak bersisi (Dzat Allah),
Maka lenyaplah aku di dalamnya,
Daripada ada dan tiada pun aku tiadalah tahu.
Kata syair: Kembalilah aku daripada menuntut dan yang dituntut.
Dan berhimpunlah aku antara yang memberi kurnia dan yang dikurniai,
Dan kembalilah daripada aku bagi adaMu.
Tiada engkau di dalamnya dan tiada aku.
Kata Syeikh Attar pula: Daripadanya kembalilah, setengah daripadanya melihat temasya tepuk dan tari,
Nyawa pun diberi selesailah ia daripada tuntut.
Lagi kata: Kertas pun dibakar dan pensel pun dipatahkan dan dakwat pun ditumpahkan dan nafas pun ditarik.
Inilah kisah ragam orang berahi bahawa dalam daftar tidak lulus (tidak dapat dikisahkan).
Lagi kata: Tuntut pun
seteru dan kehendak pun sia-sia, dan wujud pun jadi dinding (hijab)
tidak dapat diperolehi menghendaki damping dan cita, yang hadir segala
nafs pun menjauhkan (menghijab).
27. Inilah kesudahan sekelian, inilah yang dikatakan Fana,
inilah yang dikatakan alam Lahut, pun dapat dan dikatakan wasal
(sampai), dikatakan mabuk (berahi Allah) pun dapat.
Inilah kata Shah Ali Barizi: Kepada pintu negeri yang Fana (yang tinggal hanya Allah) sujudlah aku.
Ku bukakan kepalaku, maka pertunjukanlah mukaMu kepadaku.
Kata orang Pasai: Jika tidak tertutup maka
tidak bertemu (Dzat Allah). Erti pada itu tidak lulus iaitu, menjadi
seperti dahulu kala seperti di alam Lahut, tatkala dalam perbendaharaan
tersembunyi, serta dengan TuhanNya.
Seperti biji benih dalam pohon
kayu, sungguhpun zahirnya tidak kelihatan, hakikatnya Esa jua. Sebab
itulah Mansur Al Halaj menyatakan: Ana al Hak (Akulah Hak), manakala
setengah sufi yang lain menyatakan: Anallah (Aku Allah), kerana adanya
(dirinya) tidaklah dilihatnya lagi (telah Fana, yang tinggal hanya
Allah).
Bersambung ke bahagian 14.
Al Muntahi (bhg. 12)
24. Mengapa dikata bertemu dan
bercerai itu dua? Hendaknya pada Alim (yang mengetahui) hakikatnya
tiada dua. Seperti ombak dan laut esa jua, pada zahirnya jua dua,
tetapi bertemu pun tidak bercerai pun tidak, di dalamnya tiada di
luarnya pun tiada.
Seperti kata Ghawth: Mana kebaktian terlebih kepadaMu ya Tuhanku?
Firman Allah SWT: Sembahyang yang di dalamnya tiada lain selain daripadaKu, dan yang menyembah ghaib.
Nyatalah daripada ini bahawa yang disembah pun Ia jua, yang menyembah pun Hak. Seperti kata Mashakikh:
Tiada mengenal Allah hanya Allah
Tiada mengetahui Allah hanya Allah
Tiada melihat Allah hanya Allah.
Dan lagi seperti kata Maulana Abdul Rahman Jami:
Orang yang wasal (sampai) itu seperti orang yang duduk kesal;
Taulannya diceritakannya daripada penceraiannya
Dan seru dan tangisnya, sehingga jadi harum daripada wasal; terhenti olehnya
Daripada penceraiannya dan daripada penuh dengan dukacitanya.
Dan seperti kata Shibli:
Aku seperti katak tinggal dalam laut
Jika kubukakan mulutku nescaya dipenuhi air;
Jika aku diam nescaya matilah aku dalam percintaanku.
25. Isyarat daripada Syeikh Sakdul Din: Jangan lagi dicari
tidak akan diperolehi, jika lagi dipandang tiada dilihat, kerana
perbuatan kita itu seperti angin di laut. Jikalau berhenti angin ombak
pulang kepada asalnya.
Seperti Firman Allah QS Al Fajr 89: 27,28:
Hai jiwa-jiwa nan tenang (mutmainah), kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan reda dan diredai, maka masuklah ke dalam surga Ku.
Ertinya datangnya daripada laut (Dzat Allah), pulang pun kepada laut (Dzat Allah) jua.
Seperti kata-kata:
Syurga orang zahid (peribadah) bidadari dan mahligai,
Syurga orang berahi (kekasih) kepada perbendaharaan yang tersembunyi (Dzat Allah).
Bersambung ke bahagian 13.
Al Muntahi (bhg. 11)
21. Yakni yang asalnya tidak
berwarna dan tidak berupa. Segala rupa yang dapat dilihat dan dapat
dibicarakan, sekelian makhluk jua pada ibaratnya. Barangsiapa menyembah
makhluk, ia itu musyrik (menyekutukan Allah), seperti menyembah orang
mati, jantung dan paru-paru, sekelian itu berhala jua hukumnya.
Barangsiapa menyembah berhala, ia itu kafir…. kami berlindung dengan
Allah daripadanya, Allah yang lebih mengetahui.
22. Jika demikian mengapa memandang seperti ombak dan laut? (padahal kedua-duanya esa jua).
23. Seperti kata syair:
Bekas kaca dan hening air minuman
Maka serupa kedua-duanya dan sebagai pekerjaannya
Maka sanya minuman tiada dengan piala
Dan bahawa piala tiada dengan minuman.
Yakni warna kaca dan warna minuman esa jua, warna minuman dan kaca begitu jua, tiada dapat dilainkan.
Seperti kata syair:
Asalnya satu jua warnanya berbagai-bagai
Rahsia ini bagi orang yang tahu jua dapat memakainya.
Dan lagi syair:
Berahi dan yang berahi dan yang diberahikan itu ketiga-tiganya esa jua
Sini apabila pertemuan tiada lulus, perceraian di mana kan ada?
Bersambung ke bahagian 12.
Al Muntahi (bhg. 10)
19. Pada zahirNya berbagai-bagai, tetapi pada DzatNya tidak berbagai-bagai dan tiada berubah kerana Ia, seperti Firman Allah QS Al Hadid 57: 3.
Dia Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin.
AwalNya tidak ketahuan akhirNya tidak berkesudahan zahirNya
amat tersembunyi dengan batinNya tidak kedapatan. Memandang diriNya
dengan diriNya, melihat diriNya dengan DzatNya dengan SifatNya dengan
AfaalNya dengan AtharNya (bekasnya). Sungguhpun namaNya empat tetapi
hakikatNya esa.
Seperti kata Syeikh Muhyildin Arabi: Menunjukkan AdaNya dengan AdaNya.
Sementara itu, Imam Muhammad Ghazzali berkata: Alam ini daripadaNya dengan Dialah tetapi sekelianya Dia.
Kata Kimiyai Saadat:
Wujud kami daripadaNya dan kuasa kami dengan Dia,
Tiada bezanya antaraku dan Tuhanku melainkan dengan dua martabat. (martabat Tuhan dan martabat hamba).
Inilah ibarat kata-kata: Siapa yang mengenal dirinya mengenal ia Tuhannya.
20. Allah SAW tidak bertempat dan tidak bermisal. Mana ada
tempat jika lain daripadaNya tiada? Mana tempat, mana misal, mana warna?
Hamba pun demikian lagi hendaknya jangan bertempat, jangan
bermisal, jangan berjihat enam, kerana sifat hamba (adalah sifat)
Tuhannya, seperti kata-kata berikut:
Apabila sempurna Fakir, maka Ia itu Allah dan hidupNya dengan hidup Allah.
Maulana Abdul Rahman Jami berkata:
Kepada kekasih yang tidak berwarna itu (Allah) kau kehendak, hai hati
Jangan kau padamkan kepada warna mudah-mudahan, hai hati
Bahawa segala warna daripada tidak berwarna datangnya, hai hati
Barangsiapa mengambil warna daripada Allah itulah terlebih baik, hai hati !!!
Bersambung ke bahagian 11.
Al-Muntahi (bhg.7)
13. Hai Pelajar mengetahui “siapa mengenal diri mengenal Tuhannya.” bukan mengenal jantung atau paru-paru, bukan mengenal kaki dan tangan. Makna “siapa mengenal diri…” adanya dengan ada Tuhannya esa jua. Seperti kata Syeikh Junaid: “Warna air itu warna bejananya” .
Seperti kata syair:
Sesungguhnya telah tersembunyilah engkau maka
tiada dapat dilihat oleh segala mata;
Maka betapa dilihat oleh segala mata
Kerana Ia terdinding oleh adaNya.
Kata Syeikh Muhyildin Arabi:
Jika pergilah aku menuntut Dia,
tiadalah berkesudahan tuntutku,
jika datang aku ke hadiratNya,
Ia liar daripadaku;
Tidak aku melihat Dia,
Ia tidak jauh daripada penglihatanku,
Bermula: Ia ada dalamku dan tiada aku bertemu pada seumurku.
Maka ini lagi kata Syeikh Junaid: Adamu ini dosa, tiada dosa sebagainya.
14. Barangkala engkau pun satu wujud, Hak SWT pun satu wujud, sharika lahu (engkau mensyirikanNya) datang kerana Hak SWT:wahdahu la shararika lahu: (ertinya:tiada sekutu bagiNya), tiada wujud lain hanya wujud Hak SWT. Seperti laut dan ombak.
Seperti Firman Allah:
Barang kemana mukamu kau hadapkan, maka di sana ada Dzat Allah.
Kata Maulana Abdul Rahman Jami:
Sekampung sekedudukan, sekelian itu Ia jua;
Pada telekung segala minta makan dan pada atlas segla raja-raja itu pun Ia jua;
Pada segala perhimpunan dan perceraian dan rumah yang tersembunyi dan yang berhimpun itu pun Ia jua;
Demi Allah sekeliannya ia jua.
Maka demi Allah sekeliannya Ia jua.
Bersambung ke bahagian 8.